"> ');

FIDYAH PUASA

Fidyah merupakan denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebeb-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa qadha’ Bulan Ramadhan. Puasa wajib dalam Islam adalah :

  1. Puasa pada Bulan Ramadhan.
  2. Puasa Qadha’
  3. Puasa Nazar
  4. Puasa Kaffarah.

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan seterusnya menjadi tanggungan ( hutang ) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan. Hukum wajib untuk menyelesaikan fidyah adalah bersumberkan dari firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 184:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدۡيَةٞ طَعَامُ مِسۡكِينٖۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرٗا فَهُوَ خَيۡرٞ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٤

Maksudnya : ( yaitu ) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan ( lalu ia berbuka ), maka ( wajiblah baginya berpuasa ) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya ( jika mereka tidak berpuasa ) membayar fidyah, ( yaitu ) : memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

i. Uzur menunaikan puasa wajib.

Mereka terdiri dari golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

ii. Perempuan hamil

Perempuan hamil antara sebab dikenakan fidyah apabila dia tidak berpuasa dengan syarat ibu tersebut merasa bimbang akan kemudaratan bayi dalam kandungannya ( seperti khuatir berlaku keguguran ). Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga qadha’ puasanya.

iii. Ibu yang menyusukan anak

Dengan syarat ibu tersebut merasa bimbang akan memudaratkan bayi yang disusinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka untuk masalah ini, dia perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

iv. Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

v. Melambatkan Qadha’ puasa

Mereka yang melambatkan untuk mengganti puasa hingga telah melangkau tahun berikutnya ( masuk Bulan Ramadhan bagi tahun berikutnya ) dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan ( qadha’ ) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Dalam masalah fidyah, ada individu wajib puasa sahaja tanpa perlu fidyah, ada yang wajib qadha’ dan membayar fidyah dan ada yang wajib membayar fidyah sahaja. Penjelasan adalah seperti berikut:

  1. Wajib qadha’ puasa sahaja
    1. Orang yang musafir
    2. Sakit yang memudaratkan
    3. Perempuan haid, wiladah ( bersalin ) atau nifas
    4. Perempuan yang mengandung yang bimbangkan kesihatan dirinya
  2. Wajib qadha’ puasa dan membayar fidyah
    1. Perempuan mengandung yang bimbangkan kesihatan diri dan anak yang di dalam kandungan.
    2. Perempuan yang menyusukan anak dan bimbangkan diri dan anaknya.
    3. Perempuan yang mengandung yang bimbangkan kesihatan anaknya sahaja.
    4. Lewat mengqadha’ puasa sehingga tiba Ramadhan yang berikutnya.
  3. Wajib fidyah sahaja
    1. Sakit tenat yang tiada harapan sembuh.
    2. Orang tua yang tidak mampu berpuasa.
    3. Orang yang bekerja berat sepanjang tahun.
    4. Waris orang yang meninggal dunia yang belum sempat mengqadha’ puasa.

Ukuran bagi fidyah adalah satu cupak Baghdad makanan asasi bagi sesebuah negara, jika di Malaysia makanan asasi adalah beras ( atau boleh dibayar dengan nilai harga bagi makanan asasi sesebuah Negara ). Satu cupak adalah ¼ gantang Baghdad. Satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7 kilogram, maka 1 cupak bersamaan dengan 675 gram.

* Dalam konteks Negara Malaysia, bayaran juga boleh menggunakan nilaian harga fidyah tersebut ( menggunakan wang ). Iaitu dengan melihat harga semasa beras ( 675 gram ) yang paling dominan dimakan oleh pembayar fidyah.

Cara pengiraan fidyah adalah :

1. Bilangan hari tidak perpuasa X kadar fidyah (cupak)

Contoh pengiraan : lima hari tidak berpuasa (5 x 675 gram = 3.375 kg makanan asasi)

* Jika dibayar menggunakan wang ringgit, maka di semak harga semasa bagi 3.375 makanan asasi tersebut.

2. Bilangan hari tidak puasa X ( tahun gandaan ) X kadar fidyah ( cupak )

Tahun gandaan bermaksud bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan dan melangkau ke Ramadhan tahun berikutnya, maka apabila telah melangkau ke Ramadhan untuk tahun berikutnya, dia dikira tahun lain dan perlu kepada gandaan. Gandaan mengikut kepada tahun yang ditinggalkan.

Contoh pengiraan : Seseorang tidak berpuasa pada tahun 1436 H, dia tidak membayar fidyah bagi puasa pada tahun tersebut sehingga masuk kepada Bulan Ramadhan bagi tahun 1438H. Jadi, dalam masalah ini perlu dilihat tahun tersebut, untuk puasa bagi tahun 1436H, jika tidak membayar fidyah sehingga masuk ke Ramadhan 1437 H, maka kadar bayaran fidyah bagi puasa tahun 1436H dikalikan dengan 2. Seterusnya apabila masuk ke Ramadhan 1437H, maka perlu dikalikan dengan 3. Jadi, pengiraan dalam kes ini adalah seperti berikut:

Bilangan hari tidak puasa ( 5 hari x 3 ( gandaan tahun ) = 15.

Angka 15 x 675 gram = 10.125 kg. ( bayaran fidyah juga boleh menggunakan nilai harga semasa bagi timbangan makanan asasi tersebut ).